20 November 2024

Krongcong oleh Ruang Sarapan: Tempat Sarapan Penuh Nostalgia di Kamunting, Taiping

Sebelum mula jalan-jalan di Taiping tempoh hari, kami sempat singgah brunch di Krongcong oleh Ruang Sarapan yang terletak di Lorong 2, Kamunting. Kalau anda sedang mencari tempat makan pagi dengan suasana klasik yang penuh nostalgia, Krongcong memang pilihan yang tepat!


#PerakPassport @ Krongcong oleh Ruang Sarapan, Kamunting


Apa yang buat Krongcong ni lain daripada kedai makan biasa ialah dekorasinya. Masuk je ke dalam, terasa macam kembali ke zaman kecil-kecil dulu! Dengan sofa lama, meja dan kerusi gerai klasik, dan tempat makan bersila, kedai ni betul-betul menghidupkan suasana retro yang nyaman. Kalau nak lebih santai, boleh pilih untuk duduk di bahagian luar sambil menikmati udara pagi yang segar di Kamunting. Memang sesuai kalau nak lari sekejap dari kesibukan bandar.




Kami sempat cuba beberapa hidangan yang memang menambat selera:

Nasi lemak sambal kerang - Sambalnya memang power, cukup rasa pedas dan manis

Peknga nyok (lempeng kelapa) - Hidangan tradisional yang memang buat nostalgia zaman kecil-kecil kita dulu

Sup kaki ayam - Ini semestinya pilihan anak-anak. Supnya pekat dan sedap, kaki ayam pula empuk. (Tapi Mummy skip bahagian ni, tak makan kaki ayam. 😅)


Sedap sangat peknga ni. Tak keras macam sesetengah kedai buat. Sambal dia pun memang sedap sangat!


Setiap hidangan disajikan dengan penuh rasa tradisional. Portion pun sangat memuaskan untuk harga yang berpatutan. Kalau anda penggemar makanan kampung atau masakan Melayu asli, memang tak boleh lepaskan peluang untuk cuba menu-menu di sini.



Makan pagi di Krongcong bukan sekadar mengisi perut, tapi juga menghiburkan hati. Ada abang busking dengan suara merdu yang mengalunkan lagu-lagu santai untuk pengunjung yang sedang bersarapan. Suasananya memang santai, seronok, dan terasa seperti makan di kampung. Pengalaman makan pagi yang sangat berbeza dari tempat lain!

Kalau plan nak datang ke sini, pastikan datang awal sebab kedai ni hanya dibuka untuk sarapan dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang sahaja. Kalau lambat, takut terlepas menu sedap-sedap dia. Kami sendiri datang awal dan dah nampak ramai orang mula memenuhi meja.

Jadi, kalau anda singgah di Kamunting atau sekitar Taiping, masukkan Krongcong dalam senarai tempat makan anda. Suasana klasik, makanan sedap, dan hiburan live — semuanya lengkap untuk pagi yang sempurna. Jangan lupa snap gambar suasana kedai ni, confirm buat anda rindu kampung halaman!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

09 10