11 Okt 2007

MALAYSIA BOLEH!!!!!!


Malaysia catat sejarah, angkasawan pertama negara berlepas
[ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (kiri) dan Yuri Malenchenko dari Rusia dalam perjalanan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan roket Soyuz TMA-11 yang berlepas pada 7.21 malam tadi waktu tempatan (9.21 malam waktu Malaysia). ]

BAIKONUR (Kazakhstan) 10 Okt. - Malaysia membuka satu episod baru dalam lipatan sejarah negara apabila angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Rusia dari tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan tepat pukul 7.21 malam ini (9.21 malam waktu Malaysia).

Kejayaan menghantar angkasawan negara itu menandakan satu lagi pencapaian di peringkat dunia yang mampu diraih oleh rakyat negara ini, selaras dengan usia kemerdekaan negara ke-50 bebas dari penjajahan, pada 31 Ogos lepas.

Selain Dr Sheikh Muszaphar Shukor, misi pesawat angkasa lepas seberat 7,170kg itu disertai Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko dari Rusia.
Bukan itu sahaja, Dr Sheikh Muszaphar Shukor juga mencatat sejarah sebagai angkawasan pertama Islam yang bakal menyambut Aidilfitri di angkasa lepas, yang berada pada kedudukan 333km dari muka bumi dengan jangkaan tiba ke ISS selama dua hari.

Beliau berlepas di saat umat Islam berpuasa pada 28 Ramadan.
Di Malaysia, berjuta-juta rakyat menonton pelepasan itu yang disiarkan secara langsung melalui media elektronik khususnya televisyen, di RTM1, TV3 dan Astro 588, dan beberapa skrin yang ditempatkan di lokasi strategik di ibu negara bagi menyaksikan detik-detik kegemilangan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyaksikan sendiri kejayaan yang dicapai oleh anak muda dari Seremban itu dalam satu majlis khas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Kong Cho Ha; dan 280 pelajar sekolah.
Sebelum itu, majlis berbuka puasa dan solat tarawih diadakan di situ.
Ketiga-tiga angkasawan itu akan berada di ISS selama 10 hari dengan Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengadakan tiga uji kaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein sebelum pulang ke bumi pada 21 Okt ini.
Yang berada di sini untuk menyaksikan pelepasan angkasawan negara itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis dan kedua-dua ibu bapa Dr Sheikh Muszaphar Shukor, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan Datin Zuraida Sheikh Ahmad.
Program angkawasan negara bermula pada 2003 apabila Rusia bersetuju menghantar seorang rakyat Malaysia ke ISS sebagai sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai RM3.42 bilion buatan Russia oleh Malaysia pada 5 Ogos 2003.
Dr Sheikh Muszaphar Shukor dipilih untuk misi ini, namun begitu Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) juga mengiktiraf seorang lagi angkasawan negara, Kapten Dr Faiz Khaleed yang menjadi angkasawan sokongan bagi misi ini.
Roskosmos juga bersetuju semalam bahawa Dr Faiz dihantar menyertai misi angkasa bagi sesi 2008/2009 dan dibenarkan terus menjalani latihan di Pusat Latihan Angkawasan Yuri Gagarin, Star City, Russia.
Pada 13 Oktober 2003, kerajaan secara rasminya membuka peluang kepada rakyat Malaysia menjadi calon angkasawan yang pertama dengan sebanyak 11,267 orang memohon.
Selepas menjalani pelbagai ujian, Dr Faiz dan Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin sejak September tahun lepas.
Penerokaan manusia ke angkasa lepas bermula pada April 1961 apabila angkawasan pertama Yuri Gagarin dari Rusia membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi dengan masa 108 minit, menggunakan kapal angkasa Vostok 1 seberat lima tan. - Bernama


(source: utusan online, 11/10/07)

1 ulasan:

  1. despite himself wearin a complete astronaut suit pon it's obvious that he's pretty hunky! hihi =D

    BalasPadam

09 10