28 Ogos 2025

Memorial Negarawan Kuala Lumpur: Kenali 7 Tokoh Kemerdekaan di Jalan Dato’ Onn

Memorial Negarawan mungkin tak sepopular muzium besar lain, tapi di sinilah tersimpan kisah orang-orang penting yang merintis jalan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia moden. Sebenarnya kami lawat Memorial ni bulan Ogos tahun lepas, tapi tak betul-betul share lagi tentang tempat ni. Sempena bulan patriotik, barulah rajin nak tulis. Biar memori dan pengajaran daripada lawatan ni tak hilang begitu saja.

Bangunan memorial ini asalnya Kompleks Jabatan Perdana Menteri sebelum semua agensi berpindah ke Putrajaya. Yang ikoniknya, Pejabat Perdana Menteri dan Bilik Mesyuarat Kabinet yang asal masih dikekalkan—masuk sahaja ke ruang itu, rasa macam “throwback” ke detik awal pentadbiran negara.


Pejabat Perdana Menteri

Bilik Mesyuarat Kabinet yang asal masih dikekalkan

Memorial ini menghimpunkan tujuh negarawan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak—Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T. Sambanthan, Tun Dr. Lim Chong Eu, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens, dan Tun Temenggong Jugah. Setiap tokoh ada galerinya sendiri dengan dokumen, foto, rakaman video, malah memorabilia sumbangan keluarga dan yayasan. Walaupun latar berbeza, tujuan mereka sama: sebuah negara merdeka, bersatu dan makmur. 

Dari segi pengalaman, paparan di sini tenang dan informatif—mudah hadam untuk anak-anak juga. Kisah-kisahnya diceritakan dengan baik; kita bukan sekadar membaca panel, tapi melihat bukti fizikal sejarah negara—surat, kliping akhbar, potret, dan elemen multimedia. Bagi yang minat sejarah, memang “syok” teliti satu-satu.



















Memorial Negarawan
Lokasi: Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur
Masuk percuma
Waktu operasi
Selasa hingga Ahad, 9.00 pagi–5.00 petang
Jumaat rehat 12.00–3.00 petang
Tutup Isnin

Kalau ada masa lebih, boleh gabungkan lawatan ke destinasi berdekatan dalam Kompleks Arkib Perdana Menteri & Arkib Negarawan seperti Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan Memorial Tun Hussein Onn. Semuanya di sekitar Jalan Dato’ Onn. Satu kawasan, banyak cerita untuk diteroka. 


Pendek kata, Memorial Negarawan ialah tempat yang baik untuk kita pupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia—bukan hanya melalui slogan, tapi dengan mengenal insan-insan yang bekerja di balik tabir kemerdekaan. Bawa anak-anak, baca perlahan-lahan, dan hayati perjalanan kita sebagai sebuah negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

09 10