Kalau ingat Muzium Tentera Darat di Port Dickson ni kecil, memang silap besar. 😅
Kami pergi hari tu dengan mindset “singgah sekejap je”, tapi bila dah masuk, terus terkejut sebab kawasan dia memang besar dan sangat lengkap. Sampai tak sempat nak cover semua dalam satu lawatan. Memang jenis tempat yang buat kita rasa nak datang lagi sebab banyak sangat benda menarik nak explore.
Muzium Tentera Darat ni sebenarnya antara muzium ketenteraan paling lengkap di Malaysia. Bukan sekadar ada pameran dalam bangunan, tapi kawasan luar pun dipenuhi dengan pelbagai aset tentera sebenar. Dari kereta kebal, motosikal tentera, artileri, pesawat, sampailah kereta api tentera, semuanya ada dipamerkan di sini.
Seronok tengok anak-anak dapat melihat sendiri saiz sebenar kereta kebal dan kenderaan tentera yang sebelum ni hanya tengok dalam buku atau video. Kawasan luar muzium ni pun luas dan tersusun cantik, jadi memang selesa untuk berjalan santai sambil ambil gambar. Banyak juga sudut menarik untuk bergambar, especially dengan aset tentera besar-besar tu sebagai latar belakang.
Masuk ke bahagian galeri dalam bangunan pula, memang lagi terasa nilai sejarah tempat ni. Galeri disusun mengikut perjalanan sejarah ketenteraan negara, bermula dari kisah pahlawan-pahlawan Melayu melawan penjajah sebelum merdeka, sehinggalah pembentukan Tentera Darat Malaysia selepas kemerdekaan. Banyak koleksi menarik dipamerkan seperti pakaian seragam lama, senjata, dokumen sejarah, dan pelbagai peralatan ketenteraan yang pernah digunakan satu masa dulu.
Antara bahagian yang paling menarik perhatian kami ialah replika terowong Parti Komunis Malaya yang dibina berdasarkan rekabentuk asal Terowong Piyamit di Betong, Thailand. Bila masuk ke dalam terowong tu, memang terasa suasana yang sangat berbeza. Dalamnya lengkap dengan ruang tidur, bengkel senjata, dapur, bilik bedah dan ruang mesyuarat. Dari situ, baru boleh bayangkan macam mana kehidupan anggota komunis yang bersembunyi dalam hutan satu ketika dahulu.
Apa yang kami suka tentang muzium ni ialah cara penyampaian maklumat dia. Banyak info dipaparkan dengan jelas dan mudah difahami, jadi anak-anak pun boleh belajar sambil explore tanpa rasa bosan. Ini bukan jenis muzium yang sekadar tengok barang pameran dan berjalan keluar macam tu saja. Tempat ni betul-betul memberi pengalaman dan membantu kita lebih memahami sejarah negara.
Kemudahan di sini pun selesa untuk lawatan keluarga. Kawasan bersih, laluan mudah diakses, dan banyak tempat untuk berehat sekejap kalau penat berjalan. Harga tiket masuk pula memang sangat berbaloi untuk pengalaman yang kita dapat. Dengan kawasan sebesar ni dan galeri yang sangat lengkap, memang rasa puas hati.
Kalau bercuti ke Port Dickson, memang sangat recommend untuk singgah ke Muzium Tentera Darat ni. Selain jadi aktiviti jalan-jalan dengan anak-anak, tempat macam ni juga membantu kita menghargai pengorbanan generasi terdahulu dalam mempertahankan negara. Kadang-kadang, lawatan seperti inilah yang buat kita lebih rasa bersyukur dengan nikmat aman yang kita ada hari ini. 🇲🇾
Tiada ulasan:
Catat Ulasan