Selalu nak bawa anak-anak ke Bukit Bendera tapi selalu tak menjadi kenyataan sebab rasa malas nak redah ramai orang. Kali ni, kami dah buat plan nak naik ke Bukit Bendera dengan kereta api furnikular tu seawal mungkin.
Jom tengok tips kami naik tren ke Penang Hill yang tidak perlu bersesak-sesak!
Kami keluar dari rumah seawal jam 5.20 pagi dan singgah untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Negeri Pulau Pinang. Selepas selesai solat Subuh, kami terus ke Stesen Keretapi Furnikular Bukit Bendera. Kami beli tiket untuk Kadar Sunrise yang berharga hanya RM5 untuk dua hala (naik dan turun) untuk semua kategori dewasa, kanak-kanak dan warga emas. Tiket tren furnikular Bukit Bendera bagi Kadar Sunrise ni boleh beli di kaunter sahaja tau, dari jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi.
Oleh kerana waktu awal pagi ini masih belum ramai orang lagi jadi lepas beli tiket terus beratur untuk batch seterusnya naik tren funikular. Ikut niat nak tengok matahari terbit, tapi kita hanya merancang... dah beli tiket awal, beratur, train dah sampai, tapi ada delay pula.
Alhamdulillah, sampai atas masih dapat tengok langit oren matahari tengah terbit. Subhanallah! Nasib baik juga naik lambat sikit, tak banyak kafe buka pagi-pagi ni. Jadi boleh jalan-jalan saja. Nasib baik ada kedai di astaka yang buka awal juga. Dapatlah makan pagi di sana. Jujurnya, tengok permandangan matahari terbit ni memang salah satu tarikan di Bukit Bendera. Cantik sangat pemandangannya!
Salah satu highlight untuk anak-anak masa jalan-jalan di Bukit Bendera ni semestinya dapat naik buggy. Bayaran buggy yang dikenakan cuma RM 30 untuk satu kereta buggy. Satu kereta boleh memuatkan lebih kurang 5 orang dewasa. Buggy ni akan bawa jalan ke kawasan Monkey Cup Garden dan Kopi Hutan, dan patah balik.
Kalau nak jalan kaki dekat 4km pergi balik tu, jenuh juga dgn anak-anak. Naik buggy ni, boleh tengok rumah agam lama-lama yang ada, selain peti surat tertua di Pulau Pinang dan permandangan yang memang indah. Ada banyak port bergambar juga.
Antara tempat menarik di Bukit Bendera yang sempat kami lawati adalah Penang Hill Gallery @ Edgecliff. Galeri ini terletak di aras 1. Kalau dari stesen atas Bukit Bendera, kena turun lif untuk ke aras 1. Kalau nak turun tangga pun boleh tapi memang agak tinggi. Galeri ini mempamerkan sejarah dan keunikan Bukit Bendera. Memang menarik! Siap ada model funikular bergerak lagi.
Tapi sayangnya, kami je pengunjung yang ada masa tu walaupun amnya ramai pengunjung di Bukit Bendera masa tu. Mungkin lagi ramai yang suka bergambar dengan pintu gerbang bentuk love dari melawat galeri dan muzium?
Lawatan sambil belajar kali ni, the Bees dapat belajar -
✅ alam semulajadi - tengok ular atas pokok, tupai, monyet, rama-rama, cacing dan banyak sangat jenis bunga yang Mummy lupa nak ambil gambar sebab layan Bakri
✅ geografi - naik bukit walaupun guna funikular je, baru nampak pulau dan tanah besar dari atas, boleh nampak kedua-dua Jambatan Pulau Pinang. Main teka-teka Daddy naik jambatan mana pergi kerja
✅ sejarah dan budaya - peti surat tertua, meriam, funikular generasi lama, rekabentuk rumah agam lama, sejarah pembinaan keretapi Bukit Bendera
✅ keunikan hidup pelbagai kaum dan agama di Malaysia - masjid dan kuil sebelah-sebelah
✅ naik train, naik buggy, main playground!
Puas hati dah bawa anak-anak IC 07 ni semua naik Bukit Bendera. Kena lah kenal Penang kalau nak mengaku orang Penang, kan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan