Minggu lepas, kami berpeluang bawa anak-anak melawat Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati, Kuala Selangor. Jauh jugalah perjalanan kami, tapi memang excited nak tengok muzium ni sebab nak tunjukkan anak-anak permainan yang pernah Mummy Daddy main masa kecil dulu.
Muzium Permainan Tradisional ni merupakan salah satu tarikan baru di Bukit Malawati, yang terkenal dengan kubu bersejarah, pemandangan cantik, dan pastinya monyet-monyet yang setia menyambut pengunjung.
Muzium Permainan Tradisional, Bukit Malawati, Kuala Selangor |
Yang menariknya, muzium ni asalnya adalah bangunan kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah diubah suai menjadi tempat pameran. Walaupun ruangnya kecil, tetapi pengisian muzium ni memang penuh nostalgia.
Setiap pameran disampaikan dalam bentuk komik yang dilukis oleh Kartunis Taugeh. Kreatif kan? Anak-anak suka tengok lukisan comel-comel, sambil Mummy Daddy pula sibuk flashback ke zaman kanak-kanak.
Anak-anak excited belajar tentang permainan tradisional Malaysia yang mungkin mereka pernah dengar atau cuba di tadika seperti batu seremban, congkak, sepak bulu ayam dan dam aji.
Tapi, ada juga permainan yang baru pertama kali mereka tengok dan dengar. Contohnya, tarik upeh, galah panjang dan konda-kondi. Kami pun ambil peluang bercerita bagaimana permainan ni jadi kegemaran waktu kecil dulu. Tak ada handphone dan tablet macam sekarang, jadi permainan ni lah yang buat kami seronok lepak petang-petang dengan kawan-kawan.
Muzium ni sebenarnya menarik, tapi sayangnya masa kami naik Bukit Malawati tu, walaupun ramai orang, cuma keluarga kami je yang singgah ke muzium. Mungkin ramai tak tahu tentang muzium ni, atau mungkin juga sebab muzium ni terletak sedikit jauh dari stesen tram di atas bukit.
Bab publisiti pun rasanya boleh dipertingkatkan. Harap pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dapat ambil inisiatif lebih untuk mempromosikan muzium ni.
Kami sendiri ada sedikit cabaran bila nak cari maklumat sebelum datang. Bila call, tak berjawab, info di internet pun bercanggah dengan info dari staff. Jadi, harapnya akan ada lebih banyak usaha untuk memperkenalkan muzium ni pada orang ramai.
Kalau ada peluang jalan-jalan sekitar Kuala Selangor, singgahlah ke Muzium Permainan Tradisional. Bawa anak-anak kenal dengan budaya dan permainan tradisional kita. Tempat ni bukan sekadar untuk bergambar, tapi juga satu peluang untuk kita menghidupkan semula permainan yang hampir dilupakan generasi sekarang.
Dan yang paling penting, masuk muzium ni percuma! Jadi, tak ada alasan untuk tak singgah dan belajar sesuatu yang baru (atau lama, untuk yang nak throwback zaman kecil dulu!).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan