Hari ni, Balqis dan Bilal seronok sangat sebab mereka berpeluang menyertai kelas berkebun yang dianjurkan oleh Kebun Didik Al-Rasyidin di Kebun Komuniti Masjid Al Rasyidin, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Seronok betul melihat anak-anak ini belajar tentang alam sekitar dan cara menanam sayur-sayuran, sambil menikmati udara segar di kebun yang indah.
Cikgu Sara memulakan kelas dengan memperkenalkan anak-anak kepada anak benih. Beliau berkongsi cerita menarik tentang bagaimana benih kecil boleh menjadi pokok yang menghasilkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang kita makan. Budak-budak memang teruja, tak sabar-sabar nak petik sayur sendiri! Tapi, yang paling menarik sekali, sayur-sayur di Kebun Komuniti ni adalah organik – tak guna bahan kimia atau racun! Cuma menggunakan kompos dan kawalan serangga secara semulajadi. Memang sihat sangat!
Kemudian, Cikgu As pula tunjukkan cara yang betul untuk menyemai anak benih dan mengalihkan anak pokok. Balqis dan Bilal juga belajar tentang pentingnya menjaga anak pokok dengan baik supaya mereka dapat membesar dengan sihat. Semoga benih kangkung dan bayam Balqis, serta anak pokok roselle dan bunga matahari Bilal, membesar dengan subur dan menghasilkan tanaman yang cantik nanti!
Tidak lengkap rasanya kelas berkebun tanpa aktiviti yang seronok, kan? Jadi, selepas belajar berkebun, anak-anak buat air bunga telang dengan limau bersama Cikgu Tieya. Air bunga telang yang cantik berwarna biru tu, apabila dicampur dengan limau, terus berubah jadi warna purple. Eksperimen sains yang sangat menarik, dan pastinya memberi pengalaman yang tak dapat dilupakan!
Selepas semua penat berkebun dan melakukan eksperimen, waktu untuk makan pulak! Acik Nor dan Acik Ida sediakan hidangan yang memang sedap. Kuih cara buatan Acik Nor memang kena dengan selera, dan bayam celup tepung Acik Ida pula habis licin dalam sekelip mata. Semua berebut nak makan, tak sabar-sabar nak rasa!
Oh, dan Bakri memang paling seronok berkebun. Semua orang tengah sibuk tanam pokok, dia pula yang "tanam" kereta mainan dia. 😂 Tak lama lepas tu, dia minta pula makanan dan air. Senang hidup dia!
Kelas berkebun di Kebun Komuniti Masjid Al Rasyidin ni bukan sahaja memberi pengalaman baru kepada anak-anak, tetapi juga mengajarkan mereka tentang kehidupan berasaskan alam sekitar dan pentingnya menjaga bumi. Memang best untuk seisi keluarga, boleh belajar, sambil menikmati masa bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan