06 April 2020

Pengalaman Derma Darah Semasa Pandemik Covid-19


Hari Sabtu lepas, akhirnya keluar rumah setelah lama memerap di rumah kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia sebagai langkah mengawal penyebaran Covid-19 yang semakin berleluasa di Malaysia ni. Tapi, keluar pun bukan lah pergi jalan-jalan. Keluar dengan membantu mereka yang memerlukan dengan menderma darah di hospital.


Kali terakhir menderma sebenarnya dah lebih 5 bulan. Selalunya memang cuba pergi menderma selepas selang 3 bulan. Sebab jadi perempuan ni, banyak kekangan nak menderma. Mengandung, menyusukan anak, datang haid - waktu-waktu ni memang waktu tak sesuai menderma. Jadi bila tak ada ketiga-tiga situasi ni, memang cuba nak derma. Tapi selalunya banyak kempen hujung minggu, jadi kalau terlepas satu, kena tunggu lah kempen yang lain. Ada pulak hujung minggu yang free, tak boleh menderma sebab haid pulak kan. Tu yang jadi lebih 5 bulan tak menderma tu.


Nak dijadikan cerita, dalam group Derma Darah Penang kerap sangat mereka update sejak mula pandemik Covid-19 ni, minta penderma datang menderma sebab stok darah di Tabung Darah agak rendah. Kalau tak silap, memang stok di kebanyakan Tabung Darah si seluruh Malaysia sedang mengalami masalah yang sama sebab ramai yang tidak menderma sejak-sejak mula pandemik Covid-19. Lebih lagi sejak Perintah Kawalan Pergerakan ni, kempen derma darah tak dapat dijalankan.


(Sumber: Facebook Derma Darah Penang)

Mula-mula memang terfikir, tak perlu lah nak pergi waktu-waktu virus di mana-mana macam ni. Sampai lah satu petang tu dapat panggilan dari Tabung Darah Hospital Seberang Jaya tanya kalau boleh datang derma sebab dah lama dari tarikh last menderma (yes, they have database ya.) Sepatutnya, waktu macam ni, Tabung Darah dah start buat stock untuk bulan Ramadhan dan raya sebab selalunya kurang yang menderma juga waktu macam ni. Tapi sekarang Tabung Darah dah mula guna darah yang ada, tak dapat nak buat stock sangat pun.

Sejujurnya, selalunya tak lah rasa terdesak sangat nak pergi menderma sebab jenis kumpulan darah AB+ yang mana pesakit AB+ boleh saja terima darah dari kumpulan lain seperti A dan O. Dan selalunya ada hospital siap buat notis kumpulan darah AB+ boleh duduk diam-diam tak perlu datang derma sebab stok banyak, kalau tak guna nanti expired membazir juga.

Tapi kali ni, mereka perlu juga AB sebab nak hadkan pesakit kumpulan darah AB guna darah dari kumpulan AB sendiri, jadi tak perlu guna darah dari kumpulan A dan O.

Lepas bincang dengan suami, terus setuju nak pergi menderma hujung minggu lepas.

Oleh sebab kita tengah PKP ni dan ada road block di beberapa kawasan, pihak Tabung Darah Hospital Seberang Jaya dah siapkan borang untuk isi untuk pergi menderma, lepas tu mereka akan emel slip perlepasan perjalanan.


Masa keluar hari Sabtu hari tu, memang cuak juga. Sebab dah tahu kemungkinan akan lalu road block. Walaupun ada slip perjalanan, tapi memang automatik kan kita kan takut kalau terserempak dengan polis. Haha. Tapi bila lalu kat road-block, Alhamdulillah polis tak tanya banyak pun lepas tunjuk slip tu.

Sampai di Hospital Seberang Jaya, terus parking kereta betul-betul kat depan bangunan Unit Perubatan Transfusi. Memang tak lalu bangunan utama hospital, jadi tak perlu risau kalau nak pergi menderma di masa pandemik Covid-19 ni, okay.


Tabung Darah pun ambil langkah berjaga-jaga. Mula-mula sampai, bacaan suhu badan di ambil dan diberi hand sanitizer. Lepas tu baru diberi borang untuk diisi. Selain borang untuk menderma darah biasa, ada juga slip Borang Deklarasi Saringan Penyakit Covid-19 untuk Penderma Darah.



Bila dah isi semua borang seperti biasa, staff akan check tekanan darah, Hb dan berat untuk memastikan penderma dalam keadaan sihat dan memenuhi syarat pendermaan darah. Lepas tu akan ada sesi temuduga oleh Pegawai Perubatan. Selesai semua tu, baru lah mula dicucuk dan diambil darah.



Kalau siapa yang teringin nak derma darah, cukup syarat, layak menderma tapi takut, ni nak cakap ni. Tak sakit okay. Jarum tu nampak je macam besar sikit tapi insya Allah tak sakit. Kalau yang perempuan, ketahuilah, bersalin tu seribu kali lebih sakit. Hehe.

Alhamdulillah lepas selesai pendermaan darah tu, ada pula disediakan minuman dan biskut untuk beri tenaga sikit dan supaya tak pening-pening sikit. Syukur juga lepas derma tak ada rasa pening-pening, boleh terus pandu kereta dengan baik. Sebab drive seorang diri kan.




Selepas habis menderma, masa perjalanan balik tu, dapat lah cuci mata sekejap tengok keindahan alam yang dirindui. Cuaca yang sangat baik, langit yang sangat cerah. Lega fikiran sekejap dari kecamuk otak sebab terperap saja di rumah.


Lepas tu, sambung lah #DudukRumah diam-diam.

Saya bukan frontliners. Hanya rakyat yang cuba membantu kerajaan melawan penyakit coronavirus ini dengan #dudukrumah sahaja. Tapi, ini lah satu perkara yang boleh saya buat dengan harapan dapat membantu sekiranya ada yang memerlukan.

Kalau anda berdarah A, B atau O, tolonglah pergi menderma sebab kumpulan-kumpulan darah ini lebih penting dan selalu diperlukan. Jangan takut, insya Allah pihak hospital lebih tahu mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang mengendalikan penderma yang datang.

(Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Yang paling terharu, bila ada rakan yang tunjuk dia pergi menderma juga lepas tengok sharing kat IG story. (Walaupun mungkin dia memang nak pergi sendiri kalau tak baca sharing pun, nak terharu gak. Hahaha!)



Sila follow Facebook Tabung Darah atau join Group Derma Darah untuk kawasan sekitar anda okay! Cuba jer search kat Facebook.

18 ulasan:

  1. Alhamdulilah...Julia macam kawan Sis, dia akan derma darahnya setiap setahun 2 kali macam tu laaa..dalam situasi macam ni kan, kita mana tau ada yang memerlukan darah..macam Sis memang tak pernah menderma, dah berapa kali pergi tak sesuai je, darah cair ke apa entah, lupa...

    BalasPadam
  2. org dh biasa derma darah mmg ada rekod...tk pernah lagi derma darah, mmg rasa cuak juga ye nk kuar time PKP tu walau ada slip pelepasan dr spital...alhamdulillah smua urusan julia dipermudahkan

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah, usaha yg sangat murni. Saya setakat ni belum sempat lagi nak derma darah. Mungkin sebab takut. Haha.

    BalasPadam
  4. Syukur Alhamdulillah amalan mulia, saya kalau ada peluang pun akan berbuat demikian.. buku merah jangan lupa bawa moga bermanfaat untuk semua

    BalasPadam
  5. Tabik kepada anda yang membuat pendermaan darah. Satu sumbangan yg tentu sekali mampu menyelamatkan nyawa.

    BalasPadam
  6. tq sharing ur experience ju, husband akak pun ajak gi derma darah kat area umah kami ni, akak macam ju juga risau pulak time covid19 ni kan, lepas baca ni macam nak join juga husband menderma, akak darah O

    BalasPadam
  7. alhamdulillah besar pahala akak menderma darah ni, dapat membantu pihak hosp. seronok baca pengalaman menderma ni walaupun takut darah hehe

    BalasPadam
  8. Secara jujurnya tak pernah lagi menderma darah. Dah 46 tahun pun. Hanya melihat orang menderma darah. Teringin juga nak buat bila dah reda tempoh PKP ini nanti.

    BalasPadam
  9. Ya Allah baiknya pi derma darah. Saya memang ada terasa nak keluar pi derma darah tapi tak tau caranya macam mana dan takut kena tahan dengan polis. Terima kasih untuk perkongsian ini

    BalasPadam
  10. Hanya orang yang berani mampu membuat pendermaan darah. Moga tabung darah sentiasa dipenuhi dan didekati orang ramai. Satu sumbangan yang boleh selamatkan nyawa.

    BalasPadam
  11. Wahhh bagusnya derma darah waktu mcm nie. Ramai takut nk keluar especially k hospital. Sy sampai skrg xleh nk derma darah sbb underweight. Plus, tengok jarum dia seriau dibuatnya. Hahaha

    BalasPadam
  12. Saw your Instagram and I must say, I am so proud to be one of your friend! God bless you & good luck sister! Stay safe!

    BalasPadam
  13. Dah lamaaaaa sangat saya tak menderma darah... dulu dapat lepas pun sebab scale penimbang tu rosak... huhuhuhu... lepas derma, terus pitam, tu yang misi detect... rupanya tak cukup berat... tapi sekarang ni rasanya macam dah cukup berat ni... nanti nak cuba menderma darah semula la... thanks for the informative entri sis...

    BalasPadam
  14. jiwa ni meronta nak pergi menderma tapi tak boleh lagi sebab breastfeed anak lagi ...dulu masa single mmg selalu derma.. saya nak ucapkan tahniah dan terima kasih sbb menderma utk yg memerlukan.

    BalasPadam
  15. Terima kasih kerana kamu sanggup keluar untuk menderma....harap saya juga boleh mengikut

    BalasPadam
  16. Tahniah sis.. Ur one of the heroin..

    BalasPadam
  17. Sis, kalau first timer macam mana yaa waktu pkp ni?

    BalasPadam

09 10